OGOS 2024

Premier Tiba Di Melbourne Untuk Lawatan Kerja Dua Hari


MELBOURNE: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg tiba di sini pada Isnin untuk memulakan lawatan kerja dua hari  ke Ibu negeri wilayah Victoria ini bermula dari 26 hingga 30 Ogos ini.

Setiba di lapangan terbang di sini Premier dan rombongan disambut oleh Konsul Jeneral Malaysia di Melbourne, Nik Muhammad Nasyron Syah bin Nik Daud.

Turut mengiringi Premier Sarawak Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr. Hazland Abg Hipni, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar dan Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman.

Datuk Patinggi Abang Zohari akan memulakan lawatan kerjanya dengan mengunjungi Universiti Teknologi Swinburne, Kampus Hawthorn pada Selasa, jam 10.15 pagi untuk menghadiri pameran kampus di Hab Peralihan Tenaga Siemens Swinburne, Factory of the Future (FoF) dan Institut Industri dan Teknologi Angkasa Swinburne.

Ketiga-tiga pusat penyelidikan tersebut meneroka penyelesaian baru untuk cabaran tenaga teknikal semasa, mempercepatkan peralihan ke arah sektor tenaga mampan, mendalami teknologi pendigitalan dan meneroka kemajuan terkini dalam automasi pembuatan.

Selain itu, ia juga meneroka keupayaan berdaya saing di peringkat antarabangsa dalam astrofizik, aeroangkasa, penerbangan, pembuatan termaju dan kecerdasan buatan.

Selepas itu, Premier Sarawak dijadual mengadakan perjumpaan dengan Naib Cancelor Universiti Swinburne Profesor Pascale Quester.

Turut hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah Swinburne Sarawak Datuk Amar Jaul Samion, Timbalan Naib Cancelor Kanan (Akademik) Profesor Simon Ridings, Timbalan Naib Cancelor (Penyelidikan) Profesor Karen Hapgood, Pro Naib Cancelor (Penglibatan Global) Dr Douglas Proctor serta pengurusan tertinggi universiti tersebut.

Pada jam 2 petang, Premier Sarawak dijadual mengadakan pertemuan bersama pelajar-pelajar Sarawak yang menuntut di universiti berkenaan.

Premier Sarawak akan menamatkan lawatan kerja hari pertamanya dengan melawat makmal ujian (Pembuatan Terkini) Industri Kebangsaan 4.0 Pertubuhan Penyelidikan Saintifik dan Perindustrian Komanwel (CSIRO) pada jam 3.15 petang.

Pada Khamis, Premier akan berlepas ke Sydney untuk meneruskan lawatan ke Australia.